Salam sejahtera, saya merupakan salah seorang mahasiswi yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa dan Linguistik Jerman di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Bagi tahun 2017, kami dikehendaki menjalankan satu projek bagi melengkapkan kursus universiti yang bertajuk 'Jalinan Masyarakat'. Maka, kami seramai 12 orang pelajar telah merancang untuk menjalankan projek memberi makanan kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan Petaling Jaya dan Lembah Klang, Selangor. Kami membuat keputusan untuk menjalankan projek ini kerana kami berharap agar dapat membantu golongan gelandangan yang sering mengakhiri malam mereka dalam kelaparan hampir setiap hari. Kami berharap sekurang-kurangnya melalui projek kami ini, dapat memberi makanan yang sihat dan sedap kepada golongan tersebut walaupun hanya untuk sehari atau dua.
Pada hari 22 Februari 2017 lepas, kami pelajar dari kumpulan Bahasa Jerman dan Bahasa Perancis telah bergabung dengan salah sebuah pihak bukan kerajaan (NGO) yang bernama Street Feeders of Kuala Lumpur untuk memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan yang terdapat di segelintir kawasan Petaling Jaya. Kami sebagai mahasiswa dan mahasiswi buat pertama kalinya dapat merasai pengalaman bekerjasama dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang semasa menjalankan projek ini.
Pada malam di mana projek itu dijalankan, saya sebagai insan telah sedar akan kepentingan menghargai segala pemberian Tuhan kepada saya. Saya juga telah memahami perasaan dan masalah yang sering dihadapi oleh golongan gelandangan tersebut. Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih kepada pihak NGO tersebut kerana telah membenarkan kami menyertai projek mereka. Sekian, Terima Kasih.
-tshah-