Showing posts with label lembah klang. Show all posts
Showing posts with label lembah klang. Show all posts

Monday, 24 April 2017

Pengalaman menyertai aktiviti Sukarelawan SFOKL bagi Kali Kedua (8 / 3 / 2017)

     Hello semua, hari ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman kali kedua saya menyertai 'Street Feeders of Kuala Lumpur'. Kami telah menaiki LRT untuk sampai ke lokasi tersebut. Kami telah mengambil gambar bersama dengan para sukarelawan yang lain sebelum aktiviti tersebut dimulakan. 

     Selepas itu, kami diagihkan ikut kumpulan bagi menuju ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak ajk SFOKL. Saya bersama dengan rakan-rakan program German saya telah mengambil bekal  makanan bagi dihulurkan kepada golongan gelandangan. Kami telah memulakan perjalanan apabila diberi arahan oleh ajk SFOKL. Bagi memastikan keselamatan para sukarelawan, setiap kumpulan akan dipantau oleh 2 ataupun 3 kordinator sepanjang perjalanan kami hingga sampai ke destinasi yang ditujui.

    Setelah kami sampai ke destinasi di mana golongan gelandangan berada, seperti biasa kami diberikan sedikit pesanan dan nasihat mengenai apa yang para sukarelawan boleh buat di kawasan tersebut ataupun tidak. Saya bersama rakan-rakan telah terserempak dengan seorang gelandangan yang bernama Ayie. Beliau berumur 31 tahun. Beliau seorang yang pandai berjenaka dan kami telah mengadakan perbualan dengan dia selama lebih dari 30 minit. 

     Rakan-rakan saya telah memberi makanan kepada Ayie dan beliau terlalu gembira kerana ada juga insan yang masih menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada beliau. Kami sekumpulan telah melalui satu malam yang indah kerana kami dapat mengenali erti penghargaan dan hubungan kekeluargaan daripada hasil cerita ynag dikongsi oleh Ayie.

    Setelah selesai memberi makanan kepada golongan gelandangan di sana, kami mula bergerak ke tempat di mana kami berkumpul dulu. Dalam perjalanan balik, kami telah menyaksikan ajk SFOKL bertungkus-lumus memberi makanan kepada mereka yang tidur di tepi jalanraya. Peristiwa sebegitu telah menyedarkan kami akan kepentingan bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan kehidupan yang sempurna sebegini. Sekian, terima kasih. 
-tshah-

Thursday, 2 March 2017

Menyertai Aktiviti Kesukarelawan ialah Pengalaman yang Berharga

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia. Saya ialah mahasiswi tahun pertama untuk semester kedua di Universiti Malaya daripada program Bahasa Jerman. Pada semester kedua, kami diwajibkan untuk mengambil kursus universiti iaitu Jalinan Masyarakat. Program Jalinan masyarakat ini bertujuan untuk menanam sifat membantu dan berbakti dalam diri mahasiswa dan mahasiswi kepada masyarakat bukan sahaja dari segi wang tetapi dari segi tenaga dan perhatian juga diperlukan. Setelah berbincang dan mendapat persetujuan daripada guru penyelaras, kami pun bersepakat untuk membuat aktiviti membantu golongan gelandangan yang bertemakan “Caring towards Homeless People”.

Alternatif mencari dana untuk menjalankan program tersebut kami mulakan dengan aktiviti jualan. Setelah berbincang kami bersepakat untuk menjual dadih, ais krim, waffel dan buah-buahan seperti tembikai, tembikai susu dan jambu batu. Pertama sekali kami memulakan aktiviti membungkus ais krim dan membuat dadih. Setelah selesai kami pun memulakan jualan bersama-sama di blok-blok mahasiswa dan mahasiswi dalam Kolej Kediaman Kesembilan iaitu tempat kediaman kami sekarang. Alhamdulillah ternyata jualan tersebut membuahkan hasil yang agak lumayan. Apa yang saya dapat dari menjalankan aktiviti jualan ini ialah melahirkan rasa rendah diri ketika menjual makanan tersebut disamping dapat melatih diri yang agak bersifat pemalu untuk berhadapan dengan pelbagai karenah pembeli.

Pada hari rabu yang lalu (22 Februari 2017), kami telah pun bersama-sama pergi ke lokasi program di sekitar Lembah Klang untuk berkumpul bersama kumpulan daripada program Bahasa Perancis dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Ini merupakan pertama kali saya menyertai aktiviti seperti ini di sini mahupun di Sarawak. Apa yang saya lihat telah mengubah perspektif saya iaitu rupa-rupanya disekitar bandaraya Kuala Lumpur yang pesat dengan kancah pembangunan ini terdapat juga golongan gelandangan dimerata-rata tempat. Seterusnya, kami pun pergi ke lokasi yang telah ditetapkan ialah di sekitar Masjid Negara. Apa yang telah saya telah lihat terdapat golongan gelandangan ini mempunyai pekerjaan dan ada yang tidak mempunyai pekerjaan. Selain dari memberi makanan, kami juga digalakkan untuk berbual sedikit sebanyak bersama mereka asalkan topik tersebut tidak menimbulkan isu yang sensitif atau peribadi. Selepas selesai kami bersama-sama pergi ke Dataran Merdeka bagi mengakhiri aktiviti kami dengan refleksi. Banyak yang telah dikongsi sepanjang menjalankan aktiviti ini. Akhir sekali kami pun berkumpul di Central Market untuk balik ke kolej kediaman. Tipulah kalau perasaan takut itu tidak ada ketika pertama kali menyertai aktiviti seperti ini. Tetapi lama kelamaan perasaan simpati dan muhasabah diri terhadap golongan ini mula timbul mengatasi rasa takut sebelumnya. Tidak sangka banyak juga golongan yang tidak terbela nasibnya di kalangan masyarakat setempat.

Golongan gelandangan juga harus diberi peluang untuk memperbaiki cara hidup mereka. Tidak semua masyarakat ingin digelar sebagai ‘sampah masyarakat'. Oleh kerana kos sara hidup yang semakin meningkat mereka tidak mampu untuk menyewa rumah apatah lagi membeli rumah sendiri. Sebagai anjakan paradigma, kita sebagai masyarakat yang prihatin juga bertanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan khidmat bakti dan pertolongan daripada kita. 

Saya bersyukur kerana dapat menyertai projek ini kerana projek ini telah banyak mengajar saya untuk menjadi orang yang bersyukur dengan segala keselesaan yang saya miliki sekarang ini. Alhamdulillah. Bukan itu sahaja dengan adanya aktiviti seperti ini dapat memberi saya peluang untuk mencurah bakti kepada masyarakat malah dapat bekerjasama dengan ahli kumpulan saya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, budaya, bangsa dan agama yang berbeza. Terima kasih juga kepada organisasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu, “Street Feeders of Kuala Lumpur” kerana memberi kami peluang untuk menyertai aktiviti tersebut disamping membimbing kami sepanjang projek itu dijalankan. Tidak lupa juga terima kasih juga kepada guru penyelaras kami kerana membantu dan membimbing kami dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Terima Kasih.

-Aisyah- J



Friday, 24 February 2017

Pengalaman menjadi Sukarelawan bagi Projek "Caring towards Homeless People" (22 / 2 / 2017)

      Salam sejahtera, saya merupakan salah seorang mahasiswi yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa dan Linguistik Jerman di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Bagi tahun 2017, kami dikehendaki menjalankan satu projek bagi melengkapkan kursus universiti yang bertajuk 'Jalinan Masyarakat'. Maka, kami seramai 12 orang pelajar telah merancang untuk menjalankan projek memberi makanan kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan Petaling Jaya dan Lembah Klang, Selangor. Kami membuat keputusan untuk menjalankan projek ini kerana kami berharap agar dapat membantu golongan gelandangan yang sering mengakhiri malam mereka dalam kelaparan hampir setiap hari. Kami berharap sekurang-kurangnya melalui projek kami ini, dapat memberi makanan yang sihat dan sedap kepada golongan tersebut walaupun hanya untuk sehari atau dua. 
      
      Pada hari 22 Februari 2017 lepas, kami pelajar dari kumpulan Bahasa Jerman dan Bahasa Perancis telah bergabung dengan salah sebuah pihak bukan kerajaan (NGO) yang bernama Street Feeders of Kuala Lumpur untuk memberi makanan dan minuman kepada golongan gelandangan yang terdapat di segelintir kawasan Petaling Jaya. Kami sebagai mahasiswa dan mahasiswi buat pertama kalinya dapat merasai pengalaman bekerjasama dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang semasa menjalankan projek ini.

      Pada malam di mana projek itu dijalankan, saya sebagai insan telah sedar akan kepentingan menghargai segala pemberian Tuhan kepada saya. Saya juga telah memahami perasaan dan masalah yang sering dihadapi oleh golongan gelandangan tersebut. Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih kepada pihak NGO tersebut kerana telah membenarkan kami menyertai projek mereka. Sekian, Terima Kasih. 

-tshah-