Saturday, 20 May 2017

Yang Terakhir :')

Tarikh 17 Mei 2017 merupakan kali kelima atau hari yang terakhir kami menyertai Street Feeders of Kuala Lumpur ‘SFOKL’. Seperti biasa kami menggunakan bas RapidKL untuk pergi ke LRT Universiti seterusnya ke Pasar Seni. Seterusnya kami pun berkumpul bersama-sama dengan sukarelawan yang lain dan ternyata pada malam tersebut kelihatan tidak begitu ramai sukarelawan yang ada. Kami pun memilih untuk kali yang terakhir ke Masjid Negara. Kami pun pergi bersama-sama ke Masjid Negara dan ketika sampai disana kami pun mula mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan. Sebelum kami mengagihkan makanan tiba-tiba seorang PakCik yang agak berumur bertanyakan soalan kepada saya ‘Ada baju lebih tak’. Saya pun menjawab tidak dia pun kelihatan kecewa dan saya pun berasa terkilan sedikit kerana tidak dapat memberikan baju yang diminta oleh Pak Cik tersebut.

Saya dan rakan-rakan mula mengagihkan makanan. Saya memberikan makanan kepada seorang lelaki yang baru bangun dari tidurnya. Dia pun kelihatan gembira dan mengucapkan terima kasih kepada saya. Tiba-tiba terdapat salah seorang gelandangan menanyakan ada air mineral lagi atau tidak kerana seorang lagi rakannya sedang solat di Masjid tersebut. Saya berasa sedih tidak dapat memberikan air mineral kerana sudah diberikan kepada lelaki yang sebelumnya.

Seterusnya saya dan rakan-rakan pun pergi ke arah seorang Pak cik yang sedang duduk dibawah pokok. Agak lama juga kami duduk disitu sambil mendengar cerita daripada Pak Cik tersebut dengan penuh fokus. Bagi saya Pak Cik tersebut kelihatan tidak seperti golongan gelandangan kerana dari segi dia bercakap seperti orang yang berilmu dan dia kelihatan banyak pengalaman melalui apa yang dia ceritakan. Tiba-tiba seorang rakan Pak Cik tersebut datang duduk bersama kami. Rakan Pak Cik tersebut duduk di sebelah saya. Rakan Pak Cik tersebut mengadu kepada saya tentang kad pengenalan. Beliau berasa sedih kepada tidak mempunyai kad pengenalan kerana susah untuk meminta kerja dan meminjam duit daripada bank. Perkara yang paling saya tidak lupa beliau memberitahu bahawa jika tidak ada makanan dia akan mencari burung atau monyet untuk dimakan. Walaupun dia kelihatan bergurau tetapi saya berasa sedih memikirkan nasib Pak Cik tersebut jika tiada makanan.

Seterusnya kami pun bersama-sama balik dan ketika dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kami berkumpul sebelumnya, saya melihat dibawah longkang yang besar ditepi jalanraya terdapat sekumpulan ahli sukarelawan berjalan disitu dalam keadaan yang gelap bertemankan lampu suluh. Salah seorang sukarelawan tetap SFOKL yang kebetulan didepan saya memberitahu bahawa terdapat beberapa golongan gelandangan di bawah longkang tersebut. Malah ada yang daripada mereka telah berkeluarga. Kadang-kadang mereka akan memasak dibawah longkang tersebut dan apa yang saya terkejut salah seorang sukarelawan tersebut memberitahu bahawa mereka pernah menjumpai tengkorak dibawah longkang tersebut. Akhir sekali kami pun seperti biasa balik bersama-sama dan apabila sampai ke LRT Universiti kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk menggunakan ‘Grabcar’ kerana hari sudah lewat tidak ada lagi perkhidmatan bas RapidKL mahupun bas Universiti Malaya.

Syukur kerana hari terakhir kami berjalan dengan lancar tidak ada apa-apa masalah yang berlaku. Apa yang saya dapat dari hari terakhir menyertai SFOKL ialah kita tidak seharusnya sentiasa memandang keatas sehingga lupa orang yang dibawah kita. Seperti apa yang dipesan oleh salah seorang golongan gelandangan tadi apabila kita sudah berjaya jangan sesekali bersikap sombong dan lupa akan orang yang dibawah kita. Sejujurnya pada malam tersebut telah menyedarkan saya tentang sesuatu perkara selain daripada pengalaman bersama golongan gelandangan iaitu pentingnya pandai berkomunikasi. Kerana sesetengah orang bukan sahaja menilai kita daripada cara penampilan kita tetapi dari segi apa yang kita tuturkan. Saya mendapati terdapat beberapa yang berubah dari segi persepsi diri saya. Kerana kadang-kadang saya terlalu memikirkan masalah yang saya hadapi lebih besar tetapi ternyata apabila saya menyertai program ini saya melihat ternyata banyak lagi orang yang kurang bernasib baik dan mempunyai masalah yang lebih besar selain saya. Tapi mereka masih lagi boleh ketawa dan menceritakan perkara yang lucu dari pengalaman mereka. Jika mereka boleh menghadapi masalah tersebut mengapa saya tidak boleh? Itu apa yang selalu bermain di minda saya. Apa yang saya pasti jika ada peluang dan masa akan pergi sekali lagi.  


-Aisyah-

No comments:

Post a Comment