Thursday, 4 May 2017

Buat Pertama Kalinya Bersama Organisasi Kechara (27 / 4 / 2017)

      Hello semua, hari ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman saya ketika menyertai organisasi yang bernama 'Kechara' di kawasan bersebelahan dengan Pavilion Kuala Lumpur. Saya bersama-sama dengan 11 orang rakan seprogram telah bertolak dari Universiti Malaya pada pukul kira-kira 2 petang pada hari Khamis tersebut. Kami menuju ke UM Central dan mengambil bas untuk pergi ke KL Sentral. 

    Memandangkan tempat untuk organisasi Kechara terletak jauh sedikit dari universiti kami, terpaksalah kami bertolak awal sedikit bagi memastikan kami sampai di sana tepat pada masanya. Itu merupakan kali pertama bagi kami semua untuk menyertai organisasi tersebut. 

      Selepas kami sampai di sana, kami diagihkan tugas untuk membantu pekerja mahupun volunteer lain di sana bagi membantu mereka membungkus biskut-biskut. Biskut-biskut tersebut akan diberikan kepada golongan gelandangan yang terdapat di kawasan Kuala Lumpur dan lain-lain lagi. Terdapat pelbagai jenis biskut yang berkualiti tinggi bagi disalurkan kepada golongan gelandangan. 

    Apa yang menarik perhatian saya ialah, pekerja di sana mengingatkan kami supaya tidak memasukkan biskut-biskut yang telah berkecai ke dalam plastik. Hal ini telah menyentuh hati saya kerana saya kagum dengan cara dan usaha yang diambil oleh mereka bagi menjaga perasaan golongan gelandangan. Saya sedar bahawa sebagai seorang insan, kita perlu menjaga perasaan dan hati orang lain bagi mengelakkan sebarang kekecewaan timbul di hati mereka.

     Selepas kerja membungkus biskut telah habis, rakan-rakan saya telah beralih ke kerja 'seal'kan plastik yang mengandungi biskut-biskut tersebut. Saya pula telah membantu pekerja di sana bagi mengalihkan kotak-kotak besar yang mengandungi air mineral bagi diberikan kepada golongan gelandangan, bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. 

      Pada pukul hampir 6 petang kami telah bertolak dari sana untuk balik ke universiti kami. Kami juga telah mengambil gambar sebagai kenangan bersama-sama dengan pekerja di organisasi Kechara. Pekerja di sana telah memberi kami makanan ringan seperti coklat bagi menghargai kedatangan kami ke sana. Saya berharap agar dapat pergi ke sana sekali lagi bagi mengalami pengalaman menakjubkan seperti ini. Sekian, terima kasih.

-tshah-

No comments:

Post a Comment