Assalammualaikum
dan Salam 1 Malaysia. Saya ialah mahasiswi tahun pertama untuk semester kedua di
Universiti Malaya daripada program Bahasa Jerman. Pada semester kedua, kami
diwajibkan untuk mengambil kursus universiti iaitu Jalinan Masyarakat. Program
Jalinan masyarakat ini bertujuan untuk menanam sifat membantu dan berbakti dalam diri mahasiswa dan mahasiswi kepada masyarakat bukan sahaja dari segi wang tetapi dari segi tenaga dan
perhatian juga diperlukan. Setelah berbincang dan mendapat persetujuan daripada
guru penyelaras, kami pun bersepakat untuk membuat aktiviti membantu golongan gelandangan
yang bertemakan “Caring towards Homeless People”.
Alternatif
mencari dana untuk menjalankan program tersebut kami mulakan dengan aktiviti
jualan. Setelah berbincang kami bersepakat untuk menjual dadih, ais krim,
waffel dan buah-buahan seperti tembikai, tembikai susu dan jambu batu. Pertama
sekali kami memulakan aktiviti membungkus ais krim dan membuat dadih. Setelah
selesai kami pun memulakan jualan bersama-sama di blok-blok mahasiswa dan
mahasiswi dalam Kolej Kediaman Kesembilan iaitu tempat kediaman kami sekarang. Alhamdulillah ternyata jualan tersebut membuahkan hasil yang agak lumayan. Apa yang
saya dapat dari menjalankan aktiviti jualan ini ialah melahirkan rasa rendah
diri ketika menjual makanan tersebut disamping dapat melatih diri yang agak bersifat pemalu untuk
berhadapan dengan pelbagai karenah pembeli.
Pada hari
rabu yang lalu (22 Februari 2017), kami telah pun bersama-sama pergi ke lokasi program di sekitar Lembah Klang
untuk berkumpul bersama kumpulan daripada program Bahasa Perancis dan
Badan Bukan Kerajaan (NGO). Ini merupakan pertama kali saya menyertai aktiviti
seperti ini di sini mahupun di Sarawak. Apa yang saya lihat telah mengubah
perspektif saya iaitu rupa-rupanya disekitar bandaraya Kuala Lumpur yang pesat
dengan kancah pembangunan ini terdapat juga golongan gelandangan dimerata-rata
tempat. Seterusnya, kami pun pergi ke lokasi yang telah ditetapkan ialah di sekitar Masjid Negara. Apa yang telah saya telah lihat terdapat golongan gelandangan ini mempunyai pekerjaan dan ada yang tidak
mempunyai pekerjaan. Selain dari memberi makanan, kami juga digalakkan untuk berbual
sedikit sebanyak bersama mereka asalkan topik tersebut tidak menimbulkan isu yang sensitif atau peribadi. Selepas selesai kami bersama-sama pergi ke Dataran
Merdeka bagi mengakhiri aktiviti kami dengan refleksi. Banyak yang telah
dikongsi sepanjang menjalankan aktiviti ini. Akhir sekali kami pun berkumpul di
Central Market untuk balik ke kolej kediaman. Tipulah kalau perasaan takut itu tidak ada ketika pertama kali menyertai aktiviti seperti ini. Tetapi lama kelamaan perasaan simpati dan muhasabah diri terhadap golongan ini mula timbul mengatasi rasa takut sebelumnya. Tidak sangka banyak juga golongan yang tidak terbela nasibnya di kalangan masyarakat setempat.
Golongan
gelandangan juga harus diberi peluang untuk memperbaiki cara hidup mereka.
Tidak semua masyarakat ingin digelar sebagai ‘sampah masyarakat'. Oleh kerana kos sara hidup yang semakin meningkat mereka tidak mampu untuk menyewa rumah apatah lagi membeli rumah sendiri. Sebagai
anjakan paradigma, kita sebagai masyarakat yang prihatin juga bertanggungjawab
untuk membantu golongan yang memerlukan khidmat bakti dan pertolongan daripada
kita.
Saya
bersyukur kerana dapat menyertai projek ini kerana projek ini telah banyak mengajar
saya untuk menjadi orang yang bersyukur dengan segala keselesaan yang saya
miliki sekarang ini. Alhamdulillah. Bukan itu sahaja dengan adanya aktiviti
seperti ini dapat memberi saya peluang untuk mencurah bakti kepada masyarakat
malah dapat bekerjasama dengan ahli kumpulan saya yang terdiri daripada pelbagai
latar belakang, budaya, bangsa dan agama yang berbeza. Terima kasih juga kepada
organisasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu, “Street Feeders of Kuala Lumpur” kerana
memberi kami peluang untuk menyertai aktiviti tersebut disamping membimbing
kami sepanjang projek itu dijalankan. Tidak lupa juga terima kasih juga kepada
guru penyelaras kami kerana membantu dan membimbing kami
dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Terima Kasih.
No comments:
Post a Comment