Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
pada 8 Mac 2017 (Rabu) kami sekali lagi telah melaksanakan program jalinan masyarakat kami iaitu 'Caring towards Homeless' buat kali yang ke-2 bersama dengan Street Feeders of Kuala Lumpur. Kali ini, kami, mahasiswa program Jerman telah sekali lagi memilih route A iaitu di bahagian Masjid Negara. Sebaik sahaja kami sampai di sana, kami semua telah diberikan tempoh selam 45 minit untuk mengagihkan makanan serta berbual dengan golongan gelandangan. Kemudian kami semua bergerak untuk mengagihkan makanan (nasi, roti, pisang dan air mineral) dan beberapa barang keperluan seperti ubat nyamuk kepada golongan gelandangan yang berada di sekitar kawasan tersebut.
Pengalaman kedua ini, saya diberi peluang untuk merasai perbualan bersama seorang gelandangan yang mesra dipanggil sebagai Pak cik Lan. Pemalu, mudah ketawa orangnya. Pada mulanya, beliau enggan berbual dengan mana-mana ahli Street Feeders. Beliau duduk bersebelahan dengan salah seorang kawan gelandangannya yang sedang berbual dengan kumpulan yang saya duduk bersama. Andai ada yang mendekati beliau, beliau akan mengelak dengan membawa KOTAKnya (yang dijadikan alas tempat tidurnya) jauh dari mereka. Tetapi sebaik sahaja mereka berlalu pergi, beliau akan datang semula untuk duduk di sebelah kawannya. Beliau hanya mendengar perbualan kami dan tertawa. Adakalanya andai beliau ketawa, beliau akan tersipu malu sambil menutupi mulutnya dengan kedua-dua tangannya.
Tiba-tiba, beliau memandang saya lalu menyapa dengan mesra, "Ni semua yang datang ni, dari mana?". Saya terpinga. Dek suara beliau yang kurang jelas menyebabkan saya lantas bangun dan duduk di hadapannya. Agak terkejut beliau tidak berganjak. Kemudian perbualan kami berterusan hampir 20 minit dan seorang ahli Street Feeders juga telah turut serta sepanjang perbualan kami. Beliau menunjukkan saya bahawa terdapat seekor burung kecil yang berwarna putih di atas sebatang pokok sering menemaninya tidur. "Tiap-tiap malam dia ada, tapi malam Jumaat je dia tak ada. Dia pergi mesyuarat kot.". Kami ketawa mendengar jenaka beliau. Kami berbual panjang.
Saya berasa amat gembira kerana diberikan peluang untuk merasai semua ini. Perbualan yang tempohnya hanya selama 20 minit terrsebut, amat bermakna. Perkara yang paling tidak dapat saya lupakan adalah gelak tawa beliau. Dalam keadaan gelandangan yang dihadapinya, saya dapat merasai kenikmatan yang penuh dalam gelak tawanya yang kadang-kadang kita sendiri belum mampu merasainya. Saya berasa amat tenang sepanjang berbual dengan beliau dan merasakan pantasnya waktu berlalu.Sebelum saya berlalu pergi, saya sempat memandang KOTAK yang mengalas tubuh badan Pak cik Lan untuk tidur. Terdapat perasaan yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata. Terlalu bermakna. Sekian sahaja daripada saya. Akan saya nukilkan lagi pada waktu yang akan datang.
Sekian,
ASILAHADENAN
No comments:
Post a Comment