Saturday, 11 March 2017

Salam sejahtera.

Pada 8 Mac 2017, kami telah melaksanakan program jalinan masyarakat kali ke-2 di bawah kerjasama Badan Bukan Kerajaan iaitu Street Feeders of Kuala Lumpur. Kami telah membuat keputusan untuk memilih Route A---Masjid Negara. Walaubagaimanapun, tempat para peserta berkumpul untuk program jalinan masyarakat kali ke-2 ini adalah lebih dekat dengan destinasi terpilih iaitu Masjid Negara berbanding program jalinan masyarakat kali ke-1. Kami bertolak ke Masjid Negara sejurus mendapat bekalan makanan seperti nasi, roti dan pisang serta air mineral. Kami telah menemui beberapa orang gelandangan dalam perjalanan ke Masjid Negara. Dengan ini, terdapat beberapa orang sukarelawan yang terus memberikan bekalan makanan kepada mereka.

Kami mula mengagihkan makanan kepada gelandangan sebaik sahaja tiba di Masjid Negara. Saya diberi peluang untuk bertanya khabar dengan seorang pak cik yang kelihatan lesu. Pak Cik tersebut merupakan seorang yang pemalu. Dengan ini, kita hanya mempunyai perbualan yang biasa dan tidak mendalam. Pengalaman temu bicara ini merupakan kali pertama bagi saya yang sanggup memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenali walaupun ini merupakan kali ke-2 saya menyertai program ini.

Selepas itu, kami turut diberi peluang untuk berbual dengan seorang gelandangan lelaki yang berbangsa Cina. Dia telah menyatakan bahawa semua golongan gelandangan akan berkelakuan baik untuk mendapatkan makanan daripada sukarelawan. Maka, kami tidak dapat mengetahui sikap dan sifat sebenar seseorang gelandangan yang betul-betul perit dan bernafsu untuk mendapatkan makanan dalam kehidupan. Seperti apa yang diberitahu oleh Pak Cik tersebut, mereka bermalaman di sekitar Masjid Negara, namun mereka dikehendaki untuk beredar dari situ sebelum waktu subuh agar tidak menjejaskan penganut-penganut agama Islam untuk sembahyang subuh. Selanjutnya, mereka juga akan mencari barang keperluan hidup seperti makanan dan tempat berehat seperti jambatan yang berteduh daripada segala kepanasan mahupun hujan lebat.

Dalam konteks ini, ternyatalah bahawa kami tidak dapat membayangkan keperitan kehidupan golongan gelandangan. Hal ini dapat dikaitkan kerana masyarakat marhaen yang tidak sedar bahawa di hakikat sebaliknya terdapat golongan daif pada zaman yang serba moden ini. Masyarakat marhaen pada era ini tidak berasa syukur dengan keberkatan yang telah dicurahkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Akhirulkalam, kita harus sentiasa membantu golongan gelandangan dan memberikan pertolongan mahupun bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan dari semasa ke semasa agar dapat menjaga kebajikannya. Kita juga harus memahami bahawa setiap insan ciptaan Tuhan ini merupakan individu yang mulia dan istimewa dalam kehidupan. Kita tidak harus memandang rendah terhadap golongan gelandangan sebaliknya memberi bantuan dan kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka. Usaha yang pragmatik dan sistematik juga harus dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat agar kebajikan golongan gelandangan ini dapat dijamin dari semasa ke semasa.  

Sekian,

Tan Yan Tung. 

No comments:

Post a Comment