Assalammualaikum dan salam 1 Malaysia. Jalinan Masyarakat merupakan salah satu kursus yang diwajibkan bagi pelajar-pelajar Universiti Malaya tahun pertama semester dua. Program ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa dan mahasisiwi Universiti Malaya melibatkan diri masing-masing dengan masyarakat di luar kampus. Kumpulan kami iaitu Kumpulan 76, mahasiswa dan mahasiswi bidang bahasa Jerman dan Linguistik telah mencadangkan untuk menjalankan program Jalinan Masyarakat "Caring towards Homeless People" yang memfokuskan pada golongan gelandangan. Kami telah berbincang tentang objektif, aktiviti-aktiviti pengumpulan dana, tarikh-tarikh program dan pelbagai lagi.
Antara objektif kami ialah memberi peluang kepada pelajar dalam pengurusan wang dan menjalankan perniagaan dan penajaan. Saya telah mendapat pengalaman dalam penyediaan dan penjualan bagi pengumpulan dana. Kami telah berniaga dadih, buah-buahan, ais krim dan waffles. Penyediaan membuat dadih dan aiskrim dibuat di rumah saudari, Jin Ting. Pada keesokannya, kami menyediakan buah-buahan di Kolej Kediaman Kesembilan. Pada malam isnin (20/2/2017), kami bermula menjalankan pengumpulan dana dengan berniaga. Ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana saya dan rakan-rakan saya terpaksa menebalkan muka untuk menjual makanan-makanan tersebut. Kami pergi ke setiap bilik di salah satu blok semata-mata untuk menjual makanan. Walaubagaimanapun, ia masih mendapat sambutan, saya berpendapat bahawa ramai mahasiswa dan mahasiswi di Kolej Kediaman Kesembilan gemar membeli buah-buahan kerana buah-buahan jarang dijual di dalam Kolej Kediaman ini. Pada malam hari selasa (21/2/2017), kami juga menjual makanan-makanan seperti biasa.
Pada hari rabu (22/2/2017), kami telah pergi ke destinasi untuk memulakan aktiviti Jalinan Masyarakat di sekitar Lembah Klang. Kami bergabung dengan Kumpulan Bahasa Perancis dan dibimbing oleh badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Street Feeders of KL. Kami semua berkumpul di kawasan 'Clock Tower', Medan Pasar. Kami diberi ucapan dan guides oleh ahli-ahli Street Feeders of KL sebelum bertolak ke destinasi masing-masing. Mereka mengagihkan beberapa kumpulan mengikut tempat. Kami telah memilih Kumpulan A yang akan pergi ke Masjid Negara.
Selepas makanan telah diagihkan pada setiap orang, kami bertolak dengan berjalan kaki ke Masjid Negara. Ini adalah kali pertama saya berjalan kaki pada waktu malam di bandar Kuala Lumpur, kami mengambil masa yang lama untuk ke tempat tersebut. Kami berjalan melalui beberapa stesen keretapi (KTM, LRT, MRT). Walaubagaimanapun, saya tidak berasa takut kerana kami berjalan bersama-sama secara beramai-ramai. Ia sangat meletihkan. Apabila kami sampai ke Masjid Negara, saya tidak sangka di sana mempunyai ramai golongan gelandangan. Saya sudah biasa dimaklumkan bahawa Kuala Lumpur mempunyai ramai gelandangan tetapi ini merupakan pertama kali saya berjumpa gelandangan dengan jumlah yang boleh dikatakan banyak. Sebelum mengagihkan makanan, kami diberi beberapa nasihat, amaran dan masa ketika berada di Masjid Negara. Saya tidak memberi makanan kepada gelandangan kerana kesemuanya sudah mendapat makanan daripada orang lain, saya memerhati orang-orang di sekitar itu dan berasa sedih akan nasib-nasib mereka. Kebanyakan mereka adalah dewasa, banyak kemungkinan dan sebab kenapa mereka menjadi gelandangan contohnya disebabkan masalah kewangan seperti bankrupt, kerugian, menjadi muflis atau hutang, masalah keluarga seperti dibuang oleh ahli keluarga atau kehilangan ahli keluarga. Pada pendapat saya, situasi ini boleh terjadi pada kita tanpa disangka. Maka, kita harus sentiasa mengingatkan diri supaya sentiasa bijak menguruskan kewangan, peka dengan keadaan ekonomi kini, dan sentiasa menjaga hubungan dan mengambil berat tentang ahli-ahli keluarga.
Seterusnya, setelah lebih kurang 30 minit di Masjid Negara, kami mula berjalan menuju ke Dataran Merdeka, sepanjang perjalanan, kami terserempak beberapa gelandangan, dan pada waktu itu, saya memberi makanan pada pakcik tua. Saya berasa bersyukur kerana akhirnya dapat membantu mereka walaupun dengan memberi makanan. Ketika kami sampai ke Dataran Merdeka, kami diarahkan berehat sebentar dan salah satu ahli Street Feeders of KL memberi ucapan tentang pengalamannya yang sudah bertahun-tahun menyertai program ini dan memberi beberapa nasihat pada kami. Beliau juga mengatakan bahawa mereka bukan sahaja memberi makanan, tetapi memberi mereka pakaian-pakaian terpakai, dan juga menjadi peneman atau kawan kepada mereka dengan mengadakan perbualan bersama mereka. Selepas itu, kami berjalan semula ke Pasar Seni, tetapi melalui jalan yang pendek. Kami menghabiskan sesi ini pada sekurang-kurangnya pukul 11.30 malam.
Akhir sekali, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menimba pengalaman sepanjang menjalankan program ini. Saya berhadapan dengan beberapa masalah seperti kesilapan dalam membuat kertas kerja, masalah bersama rakan-rakan dalam menjalankan tugas, dan masalah dalam pengumpulan dana dengan berniaga. Program ini juga telah membuka mata saya dan memberi kesedaran akan kewujudan golongan gelandangan ini, saya juga pernah membaca satu artikel yang menyatakan ada gelandangan yang sudah 15 tahun menjadi gelandangan. Bagi saya, isu gelandangan ini patut diberi perhatian dan penjagaan yang lebih. Pada pendapat saya, seperti di Masjid Negara, pihak masjid patut memberi mereka tempat untuk mereka membersihkan diri dan juga memberi mereka bermalam di masjid. Selain itu, pihak kerajaan dan masyarakat menyediakan mereka tempat tinggal untuk sementara waktu sebelum mereka mendapat pekerjaan untuk sara diri. Walaubagaimanapun, saya masih mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sangat sedikit tentang isu gelandangan. Justeru, saya berharap agar masyarakat dan rakyat Malaysia sedar akan kewujudan golongan gelandangan dan dapat menyelesaikan masalah isu golongan gelandangan ini. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia terutamanya pemuda-pemuda menjadi prihatin akan situasi ekonomi, politik dan isu dunia pada hari ini supaya kita menjadi rakyat Malaysia yang berkualiti dan mempunyai akhlak yang tinggi pada masa hadapan.
Fatimah
No comments:
Post a Comment