Sunday, 12 March 2017

“Kita jangan buang masa, kita mesti ambil masa”

Pada 8 Mac 2017 yang lalu merupakan kali ke-2 kami menjalankan Program Jalinan Masyarakat dengan menyertai program organisasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) ‘Street Feeders of Kuala Lumpur’ (SFOKL). Pengalaman yang saya dapat pada kali ini berbeza dengan pengalaman yang saya alami sewaktu pertama kali menyertai program tersebut pada 22 Februari 2017. Pertama sekali kami dan beberapa orang pelajar dari program Bahasa Perancis dikehendaki untuk berkumpul terlebih dahulu bersama-sama dengan sukarelawan yang lain serta diagihkan kepada beberapa kumpulan. Kami telah memilih untuk pergi ke sekitar Masjid Negara buat kali ke-2 dan mula diagihkan makanan.

Sewaktu dalam perjalanan pergi ke Masjid Negara, terdapat beberapa gelandangan yang berada di luar Hotel yang telah kami lalui. Salah seorang daripada gelandangan tersebut meminta sebotol air. Saya berasa sedih tidak dapat memberi botol air kepada gelandangan tersebut kerana apa yang saya telah dapat hanyalah sebungkus roti dan pisang sahaja. Jadi saya pun memohon maaf dan terpaksa meneruskan perjalanan bersama dengan rakan-rakan yang lain. Akhirnya kami telah tiba ke destinasi yang telah ditetapkan. Apa yang telah saya lihat kali ini terdapat banyak golongan gelandangan dibandingkan dengan hari yang kami telah pergi sebelumnya. Kami diberi sama selama 45 minit untuk mengagihkan makanan dan berinteraksi dengan golongan gelandangan yang ada di sekitar Masjid Negara.

Seterusnya saya dan rakan-rakan hendak pergi untuk memberi makanan, tiba-tiba seorang pak cik menegur saya kerana mahu roti dan pisang yang telah saya bawa. Saya pun memberikan pisang dan roti itu dengan senang hati dan berkata “Makanlah  Pak Cik, maaf kerana saya ada roti dan pisang itu sahaja”. Terukir senyuman di bibir Pak Cik tersebut dan sejurus itu dia mengucapkan terima kasih. Saya dan rakan-rakan pun teruskan mencari golongan gelandangan untuk diajak berbual.

Kami pergi ke arah seorang Pak Cik yang sedang duduk makan diatas lantai berlapitkan surat khabar. Kami pun memulakan perbualan dengan menanyakan, “Sedap tak makanan tu Pak Cik?”. Pak cik itu pun menjawab makanan itu sedap dengan penuh gembira. Terdapat beberapa rakan saya mula memberi makanan dan air kepada Pak Cik itu. Apa yang saya terkejut terdapat banyak jenis botol air mineral yang sama dikumpul oleh Pak Cik tersebut dan diletakkan di belakangnya. Hati kecil saya pun berkata betapa berharganya mendapatkan air mineral bagi golongan gelandangan sedangkan kami di universiti agak mudah untuk mendapatkan air mineral kerana mesin pemanas air ada dimana-mana tidak kira di fakulti mahupun di kolej kediaman. Selepas itu kami pun mula beredar dari situ kerana tidak mahu mengganggu Pak Cik tersebut untuk menikmati makanan yang telah diberikan.

Ketika saya sedang khusyuk melihat tempat pemeriksaan kesihatan kepada golongan gelandangan yang ada disitu, tiba-tiba terdapat seorang lelaki bertanyakan soalan kepada saya “mereka ada ubat sakit hati tak?” sambil menunjuk ke arah tempat yang saya lihat itu. Saya pun mula gelisah kerana takut jawapan saya akan membuatkan dia berasa tidak senang hati dan saya pun melihat kepada rakan-rakan lain yang mendengar juga pertanyaan tersebut. Kami pun ketawa bersama-sama dan menasihatkan lelaki itu untuk pergi membuat rawatan tersebut. Dia pun menolak kerana berasa segan. Dia mempekenalkan diri dia dengan panggilan Ayie dan berumur 31 tahun. Dengan cara dia bercakap serta dialek yang dia tuturkan saya pun bertanya kepada Ayie adakah dia berasal dari Penang. Ternyata benar! Kami pun mula berbual beberapa perkara dan ternyata Ayie seorang yang lucu dan pandai berjenaka ketika berbual. Menurut Ayie tidak semua golongan gelandangan disitu bekerja dan sebahagian dari mereka hanya melepak kerana mereka hanya mengharapkan pihak ‘NGO’ untuk memberi mereka makanan dan pakaian. Menurut Ayie lagi, dia akan balik ke Penang pada bulan puasa nanti. Apa yang kami terkejut dia telah menetap di Kuala Lumpur selama 7 tahun dan mencari pendapatan dengan hanya bekerja separuh masa. Seterusnya dia berkata akan berhijrah ke Johor Bahru selepas ini. Ayie juga mengadu kebanyakkan baju-baju disumbangkan ialah baju untuk golongan wanita. Terdetik hati saya untuk membawa baju dan barang-barang yang saya tidak gunakan untut diberikan kepada golongan gelandangan pada hari yang akan datang nanti. Akhirnya kami pun mengakhiri perbualan kerana masa telahpun tamat, kami pun mengambil langkah berani untuk mengambil swafoto bersama Ayie untuk dijadikan kenangan. Ternyata Ayie tidak menolak dan bersetuju untuk bergambar bersama-sama kami. Bagi saya jenaka Ayie yang paling saya tidak lupa ialah “Kita jangan buang masa, kita mesti ambil masa”

Saya berasa amat puas hati kerana kali ini kami dapat berbual dengan golongan gelandangan yang pada asalnya membuat saya takut ketika pertama saya menyertai program ini. Pada pendapat saya, kita seharusnya mencuba untuk mendekati golongan seperti ini. Bukan sahaja memberi nasihat dan motivasi tetapi cukup jika kita mendengar luahan dan cerita daripada mereka. Kerana dengan ini mereka tidak akan berasa rendah diri dikalangan masyarakat seperti kita. Mereka juga berhak diberi perhatian yang sewajarnya kerana mereka juga manusia biasa seperti kita cuma nasib yang kurang menyebelahi mereka. Akhir sekali, saya berasa amat gembira kerana apa yang saya telah tekad pada hari itu untuk berani berbual bersama mereka dan hilangkan rasa takut telah tercapai. Saya tidak sabar untuk pergi lagi ke destinasi yang seterusnya.

Sekian,
                                                                 

Aisyah J


No comments:

Post a Comment