Tuesday, 25 April 2017

Hujan

Pada tarikh 19 April 2017, ialah kali yang ke-3 kami menjalankan aktiviti bersama “Street Feeders of Kuala Lumpur” (SFOKL). Pada hari tersebut ialah pensyarah kami Cik Koh Yi Chern turut ikut kami bersama. Pada hari itu juga saya berasa penat yang amat kerana baru habis membuat perbentangan untuk subjek Bahasa dan Komunikasi dan habis kelas pada pukul 7. Oleh kerana kami akan berkumpul pada pukul 7.40 maka saya dan rakan saya Fatimah mengambil keputusan untuk terus pergi ke surau dan seterusnya ke UM Sentral untuk berkumpul. Setelah kumpulan kami dan pelajar dari program Bahasa Perancis berkumpul, kami pun menaiki bas RapidKL untuk bersama-sama pergi ke LRT universiti seterusnya pergi ke Pasar seni.

Pada hari itu, jumlah orang yang menyertai aktiviti tersebut agak banyak kerana yang saya tahu Persatuan Mahasiswa Perak (PERMARAK) bersama YADIM daripada Universiti Malaya juga turut menyertai aktiviti tersebut. Setelah selesai mengagihkan makanan dan kumpulan kami pun bersama-sama pergi ke destinasi yang telah dipilih iaitu Masjid Negara.

Setelah sampai ke destinasi, apa yang saya telah lihat tidak banyak gelandangan yang ada disitu hanya beberapa orang sahaja berbanding yang saya lihat sebelum ini oleh kerana hujan yang belum berhenti. Tempat pemeriksaan kesihatan yang saya lihat sebelum ini pun tidak ada pada waktu itu. Kami pun pergi ke arah beberapa orang gelandangan yang berteduh di kanan Masjid Negara. Tiba-tiba seorang lelaki meminta pertolongan kami untuk memberikan air mineral kepada golongan gelandangan yang lain. Kami pun pergi ke kiri masjid untuk memberikan air-air mineral tersebut. Di situ kami telah berkenalan dengan seorang perempuan dari Universiti Malaya juga iaitu “Asma”. Dia pertama kali menyertai aktiviti ini dan dibawah PEMARAK. Apa yang saya musykil pada hari itu ialah dimana golongan gelandangan yang lain telah pergi? Rupa-rupanya mereka semua berteduh di atas tangga masjid negara. Pada waktu itu, jumlah makanan yang diagihkan kepada pihak gelandangan tidak mencukupi. Apa yang saya telah lihat seorang Pak Cik yang turun dari tangga itu berkata kepada salah seorang pihak SFOKL “Tak apa jika Pak Cik tak dapat makan, janji yang lain-lain tu dapat makan”. Kata-kata Pak Cik tersebut menyentuh lubuk hati saya yang paling dalam. Ternyata Pak Cik tersebut mempunyai hati nurani yang suci. Pada waktu itu juga saya mencari “Ayie” iaitu salah seorang gelandangan yang saya ceritakan pada tempoh hari, tetapi ternyata tidak ada disitu.

Kira-kira 40 minit, kami pun selesai dan balik untuk berkumpul semula. Ketika dalam perjalanan, saya berasa sakit pinggang kerana memikul beg yang agak berat kerana tidak sempat untuk pergi ke asrama untuk menyimpan barang sebelumnya. Tiba-tiba, rakan saya Neo Xiu Jie membantu saya membawa beg tersebut sepanjang perjalanan kami. Saya berasa amat berterima kasih kerana sedikit sebanyak telah meringankan beban saya pada ketika itu.

Setelah selesai berkumpul kami pun bersurai dan pergi ke Stesen LRT Pasar Seni dan seterusnya sampai ke Stesen LRT Universiti. Sementara menunggu rakan yang lain kami pun tunggu di tempat perhentian bas. Pada ketika itu saya berasa sangat penat dan beberapa kali tertidur di tempat duduk yang berdekatan. Ketika semua sudah sampai dan berbincang kami pun mengambil keputusan untuk balik ke kolej.


Saya berasa amat bersimpati terhadap golongan gelandangan pada hari tersebut. Mereka terpaksa mencari tempat berteduh dan sedangkan saya ada rumah dan asrama untuk berlindung ketika panas dan hujan berbanding mereka. Hal ini telah mengajar saya untuk lebih bersyukur dengan keadaan saya sekarang. Akhir sekali, saya ingin berterima kasih kepada Cik Koh Yi Chern dan rakan-rakan yang telah mengambil berat tentang keadaan saya sepanjang menyertai aktiviti tersebut. Mungkin kerana mereka melihat saya kelihatan tidak bermaya pada malam itu. Sebenarnya bukan kerana lapar tetapi kerana keletihan. Sejujurnya kali ini bagi saya kurang memuaskan dari yang sebelumnya kerana saya sukar untuk berkomunikasi bersama golongan gelandangan dek kerana cuaca yang tidak mengizinkan membuatkan mereka terpaksa berteduh disekitar Masjid Negara tersebut. Saya juga tidak dapat untuk mengambil gambar disekitar Masjid Negara dek kerana hujan yang belum berhenti. Dan pada hari itu juga saya telah menggunakan baju kurung dan ini telah menyukarkan saya untuk berjalan pada waktu itu. Segala kelemahan saya pada hari tersebut saya akan cuba baiki lagi pada aktiviti yang seterusnya nanti.

                                                           -Aisyah-

No comments:

Post a Comment