Thursday, 4 May 2017

Bersama dengan 'Pertiwi Soup Kitchen' buat Kali Kedua (1 / 5 / 2017)

      Hi semua, di sini  saya ingin menceritakan tentang pengalaman dan aktiviti yang telah saya lakukan bersama-sama dengan 2 orang rakan ketika menyertai 'Pertiwi Soup Kitchen' buat kali kedua. Kami bertolak dari universiti kami pada pukul 7 malam menuju KL Sentral. Kami telah menggunakan perkhidmatan GrabCar untuk sampai ke KL Sentral. 

       Selepas itu, kami telah mengambil LRT untuk menuju ke lokasi organisasi tersebut yang telah kami pergi sebelum ini. Lokasi tersebut ialah Medan Tuanku. Pada pukul lebih kurang 8.50 malam kami telah sampai ke lokasi tersebut. Namun ajk dan trek yang membawa makanan sampai sedikit lambat berbanding kali sebelumnya mungkin kerana kesesakan laulintas. Kami terpaksa tunggu untuk masa yang lama untuk memasuki tempat berpagar memandangkan pengawal tempat tersebut belum sampai lagi.

       Tepat pada pukul 9.20 malam, ajk dan trek makanan telah sampai dan memulakan kerja-kerja mendirikan meja seperti biasa. Kami pula telah menghulurkan bantuan yang kami mampu. Selepas semuanya telah lengkap didirikan, maka bermulalah aktiviti pemberian makanan kepada golongan gelandangan. Pada hari tersebut ramai juga gelandangan yang menghadirkan diri ke lokasi tersebut bagi mendapatkan bekalan makanan. 

        Saya dan Kak Asilah telah diberi tugas untuk membuka bungkusan makanan yang terdapat di dalam trek kecil itu. Kami perlu menaiki bahagian belakang trek tersebut dan duduk di dalamnya. Kerja kami pada malam tersebut ialah, membuka bungkusan makanan yang sedia bungkus bagi diberi kepada gelandanagn untuk mengisi bahan-bahan makanan lain seperti roti dan kek Apollo. 
       
        Ramai juga kanak-kanak yang telah hadir pada malam tersebut. Saya berasa sedikit terkilan apabila melihat keadaan mereka dan saya amat bersyukur kerana diberikan kehidupan sempurna sebegini. Dalam hati, saya telah berterima kasih seribu kali kepada kedua-dua ibubapa saya kerana memberi kasih sayang yang secukupnya dan mengasuh saya dalam keadaan yang sempurna sebegini.

        Pada pukul hampir 11 malam, kami telah bertolak dari sana. Sebelum kami berangkat, kami sempat berjumpa dengan Ketua organisasi tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi menerima kedatangan kami pada malam tersebut. Sekian, terima kasih.

-tshah-

Bersama dengan 'Pertiwi Soup Kitchen' (28 / 4 / 2017)

      Salam sejahtera semua, saya ingin berkongsi tentang pengalaman saya menyertai organisasi 'Pertiwi Soup Kitchen' buat pertama kalinya. Saya bersama dengan  2 orang rakan seprogram yang bernama Asilah (kak Asilah) dan Aisyah (kak Aisyah) telah bertolak dari universiti kami pada pukul 6 petang. Kami bertolak ke UM Central bagi mengambil bas untuk menuju ke KL Sentral. 

        Kami bertolak sedikit awal kerana itu merupakan kali pertama kami untuk menyertai organisasi tersebut. Disebabkan hanya kami bertiga pada hari tersebut, kami terpaksa sentiasa bersama-sama bagi mengelakkan sebarang benda yang tidak diingini berlaku. Walaupun kami bertolak awal, kami sampai ke destinasi tersebut hampir pada pukul 8.45 malam kerana perjalanan ke sana mengambil masa yang lama dan kami pula telah menggunakan perkhidmatan awam seperti bas dan LRT. 

      Tepat pada pukul 9.20 malam,trek yang membawa makanan telah sampai dan kami bersama-sama dengan para volunteer yang lain dibenarkan untuk memasuki kawasan di mana golongan gelandangan akan beratur bagi mendapatkan bekalan makanan mereka. Pada mulanya, ajk organisasi tersebut telah mengambil sedikit masa bagi mengatur persiapan seperti menyusun meja, menuangkan minuman kopi dan sirap, dan membuka bungkusan makanan bagi dimasukkan roti dan lain-lain.

      Saya dan rakan-rakan saya telah membantu ajk-ajk tersebut bagi meringankan tugas mereka. Selepas itu, saya dan Kak Aisyah telah diberi tugas khas untuk membuka bungkusan roti dan memberi roti kepada golongan gelandangan. Itu merupakan tugasan yang susah sedikit kerana kami terpaksa bergerak dengan pantas bagi mengeluarkan roti dan memasukkan ke dalam bungkus makanan yang dipegang oleh golongan gelandangan. 

       Walaupun kerja itu sedikit memenatkan, namun itu merupakan perbuatan 'live' yang tidak akan dapat kulupakan. Kami telah bertungkus-lumus bagi menyiapkan kerja tersebut agar golongan gelandangan tidak terpaksa menunggu untuk jangka masa yang lama.
        
       Hampir pada pukul 10.30 lebih, kami telah selesai memberi makanan kepada semua gelandangan dan dibenarkan pulang. Malam itu merupakan satu malam yang panjang dan cukup memenatkan bagi saya dan rakan-rakan. Sekian, terima kasih.

-tshah-

Buat Pertama Kalinya Bersama Organisasi Kechara (27 / 4 / 2017)

      Hello semua, hari ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman saya ketika menyertai organisasi yang bernama 'Kechara' di kawasan bersebelahan dengan Pavilion Kuala Lumpur. Saya bersama-sama dengan 11 orang rakan seprogram telah bertolak dari Universiti Malaya pada pukul kira-kira 2 petang pada hari Khamis tersebut. Kami menuju ke UM Central dan mengambil bas untuk pergi ke KL Sentral. 

    Memandangkan tempat untuk organisasi Kechara terletak jauh sedikit dari universiti kami, terpaksalah kami bertolak awal sedikit bagi memastikan kami sampai di sana tepat pada masanya. Itu merupakan kali pertama bagi kami semua untuk menyertai organisasi tersebut. 

      Selepas kami sampai di sana, kami diagihkan tugas untuk membantu pekerja mahupun volunteer lain di sana bagi membantu mereka membungkus biskut-biskut. Biskut-biskut tersebut akan diberikan kepada golongan gelandangan yang terdapat di kawasan Kuala Lumpur dan lain-lain lagi. Terdapat pelbagai jenis biskut yang berkualiti tinggi bagi disalurkan kepada golongan gelandangan. 

    Apa yang menarik perhatian saya ialah, pekerja di sana mengingatkan kami supaya tidak memasukkan biskut-biskut yang telah berkecai ke dalam plastik. Hal ini telah menyentuh hati saya kerana saya kagum dengan cara dan usaha yang diambil oleh mereka bagi menjaga perasaan golongan gelandangan. Saya sedar bahawa sebagai seorang insan, kita perlu menjaga perasaan dan hati orang lain bagi mengelakkan sebarang kekecewaan timbul di hati mereka.

     Selepas kerja membungkus biskut telah habis, rakan-rakan saya telah beralih ke kerja 'seal'kan plastik yang mengandungi biskut-biskut tersebut. Saya pula telah membantu pekerja di sana bagi mengalihkan kotak-kotak besar yang mengandungi air mineral bagi diberikan kepada golongan gelandangan, bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. 

      Pada pukul hampir 6 petang kami telah bertolak dari sana untuk balik ke universiti kami. Kami juga telah mengambil gambar sebagai kenangan bersama-sama dengan pekerja di organisasi Kechara. Pekerja di sana telah memberi kami makanan ringan seperti coklat bagi menghargai kedatangan kami ke sana. Saya berharap agar dapat pergi ke sana sekali lagi bagi mengalami pengalaman menakjubkan seperti ini. Sekian, terima kasih.

-tshah-

Aktiviti Kesukarelawan yang Kedua bersama “Pertiwi Soup Kitchen”. (30 April 2017)


Kemudahan tandas untuk golongan gelandangan.


 Lori yang digunakan untuk membawa makanan untuk diagihkan kepada golongan gelandangan



 Suasana sebelum mengagihkan makanan. Kelihatan ramai sukarelawan terdiri daripada yang berkeluarga.




 Sesi bergambar bersama penyelaras Pertiwi Soup Kitchen iaitu Puan Munirah Hamid


Syukur

Pada 30 April yang lalu, kami sekali lagi pergi ke Pertiwi Soup Kitchen. Tidak sabar untuk menimba pengalaman yang baru lagi pada waktu itu. Kami pun menaiki LRT seterusnya menggunakan Monorail untuk pergi ke Medan Tuanku. Ketika kami melalui jalan lorong menuju ke lokasi Pertiwi perasan takut itu berkurang berbanding dengan waktu pertama kali tetapi kami tetap harus berhati-hati dan peka dengan kawasan sekeliling.

Pada malam itu, terdapat banyak sukarelawan yang terdiri daripada yang berkeluarga datang membantu memandangkan pada hari itu ialah hari Ahad. Mereka juga banyak membawa makanan, minuman dan baju-baju terpakai untuk diberikan kepada golongan gelandangan. Apabila lori pihak Pertiwi datang, kami pun mula menyusun makanan diatas meja yang disediakan. Oleh kerana banyak sukarelawan yang datang membantu, kami pun selalu bertukar tempat supaya semua sukarelawan dapat pengalaman yang sama ketika mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan pada malam itu.

Syukur, kerana semuanya berjalan dengan lancar tanpa ada masalah yang timbul pada hari tersebut. Walaupun berasa penat tetapi bagi saya berbaloi kerana dapat membantu mengagihkan makanan kepada golongan gelandagan yang memerlukan bantuan dan keprihatinan daripada masyarakat. Perkara yang saya tidak dapat lupakan malam itu ialah ketika saya sedang mengagihkan makanan tiba-tiba salah seorang wanita mengucapkan terima kasih sambil mendoakan agar kami dimurahkan rezeki atas makanan yang diberi. Bagi kita mungkin itu tidak ada apa-apa tetapi bagi mereka itu sudah cukup membuatkan mereka berasa bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan.


-Aisyah-

Aktiviti Kesukarelawan yang Pertama bersama “Pertiwi Soup Kitchen”. (28 April 2017)


Video sebelum sukarelawan mengagihkan makanan.




Suasana di lokasi Pertiwi Soup Kitchen 









Menyertai Pertiwi Soup Kitchen untuk Kali Pertama

Pada 28 April 2017, kami telah menyertai sebuah lagi organisasi kesukarelawan iaitu Pertubuhan Tindakan Wanita Islam atau Pertiwi Soup Kitchen yang buat kali yang pertama. Perjalanan untuk pergi ke lokasi tersebut hampir sama dimana kami telah menggunakan LRT dan Monorail. Apabila sampai disana kami pun pergi ke tempat tersebut yang agak tidak jauh dari Stesen Monorail. Mula-mula kami agak takut untuk berjalan di jalan yang agak gelap itu tetapi syukur semuanya baik-baik sahaja. Terdapat banyak yang saya lihat golongan gelandangan sedang menunggu di luar pagar tempat pihak Pertiwi akan mengagihkan makanan. 

Ketika kami sedang menunggu, tiba-tiba ada seorang pengawal keselamatan menegur kami. Dia bertanya adakah kami sukarelawan untuk Pertiwi Soup Kitchen. Kami pun katakan ya dan dia pun memberitahu sepatutnya mereka sampai tepat pada pukul 9 tetapi mereka lewat kerana kesesakan jalan raya. Pengawal keselematan disitu kelihatan begitu ramah sekali.

Akhirnya mereka pun sampai, kami pun mula diagihkan kumpulan untuk mengagihkan makanan. Terdapat banyak golongan gelandangan yang mula beratur untuk mengambil makanan. Mereka akan diberikan 1 beg kertas setiap seorang untuk diletakkan makanan. Kami pun mula membantu mengagihkan makanan. Pada malam itu kami agak sibuk dan tidak sedar masa berlalu dengan cepat. Tiba-tiba salah seorang dari sukarelawan menegur kami dan bertanyakan adakah kami akan ikut sekali untuk pergi ke Route B di Kota Raya. Pada mulanya rasa ingin ikut tetapi kami terpaksa balik kerana sudah lewat malam.

Pada hari tersebut, saya telah menimba beberapa pengalaman yang baru iaitu membantu golongan gelandangan yang siap beratur untuk diagihkan makanan dengan cepat. Walaupun kami tidak berpeluang bersembang dengan lebih lama kepada golongan tersebut tetapi saya berasa seronok kerana sedikit sebanyak dapat menyumbang tenaga membantu mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan yang datang pada malam itu. Dan saya tidak sabar untuk pergi lagi kesana pada hari yang seterusnya nanti.


-Aisyah-